Thursday, October 29, 2009

Faedah Berzikir






السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

ZIKIR utama adalah yang diucap dengan hati dan lisan secara serentak. Di antara kedua-duanya, zikir dengan hati adalah lebih utama daripada berzikir dengan lisan semata-mata.

Imam al-Ghazali berkata zikir itu terbahagi kepada empat kategori.

-Zikir dengan lisan saja.
-Zikir dengan hati serta lisan secara paksa.
-Zikir dengan hati yang dibantu dengan lisan tanpa
paksaan.Mengua
sai zikir dalam hati dan
menumpukannya.


Seterusnya Imam al-Ghazali memberikan pandangannya dengan berkata : Yang pertama sedikit faedahnya dan lemah kesannya iaitu apabila lisan berzikir sedangkan hati di dalam keadaan lalai. Firman Allah SWT bermaksud: "Dan orang lelaki yang banyak menyebut (mengingati) Allah SWT dan orang perempuan yang banyak menyebut Allah SWT, maka Allah SWT telah menyediakan untuk mereka keampunan dan ganjaran pahala yang besar". (Surah al-Ahzab, ayat 35)

Rasulullah bersabda maksudnya : "Sesiapa yang mengucapkan Subahanallahhil azimi Wabihamdih, maka akan ditanamkan untuknya sepohon pokok tamar dalam syurga". (Hadis riwayat Muslim)

Hikmat lain adalah :

* Akan mendapat keredaan Allah SWT dan memperoleh ketenangan pada hati serta dapat
merasakan kelazatan iman dalam jiwa.

* Menimbulkan kejernihan, kemanisan pada hati dan wajah.
* Mendapat kasih sayang, kecintaan serta keampunan dari Allah SWT serta dimurahkan
rezekinya.

* Dapat merasakan betapa besar, agung, hebat dan
berkuasanya kerajaan Allah SWT.

* Segera mendapat pembelaan daripada Allah SWT apabila
seseorang itu berada dalam
kesusahan dan kedukaan.

* Mendapat penghormatan dan doa daripada sekalian
malaikat.

* Memperoleh pohon tamar dalam syurga kelak, semakin
banyak berzikir maka semakin

banyak pohon tamar itu untuknya.
* Mendapat nur (cahaya) daripada Allah SWT dalam
kehidupan di dunia ini, di alam barzakh dan
juga pada titian sirat nanti. Dapat membina rumah dan
juga istana dalam syurga. Apabila kita
berhenti berzikir maka berhentilah pembinaannya di
syurga.

* Dapat menjadi pendinding dan juga perisai daripada neraka
jahanam.

* Dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT untuk
membuka pintu masuk segala kebaikan.

* Dapat menghalau dan mematahkan gangguan syaitan
terhadap dirinya.

* Dapat menghilangkan perasaan runsing yang bersarang dalam hatinya.
* Dapat membersihkan hatinya daripada segala jenis kotoran dan juga penyakit.
* Dapat menjauhkan dirinya daripada segala jenis ketakutan dan kebimbangan.
* Dapat menghapuskan dosa kecil serta maksiat kecil.
* Dapat melepaskan seseorang yang berzikir itu daripada sifat munafik.

Apabila seseorang itu menyertai majlis zikir, dia sebenarnya menyertai majlis yang dihadiri oleh malaikat. Dengan berzikir juga seseorang itu akan sentiasa diingati oleh Allah SWT seperti dalam firman-Nya bermaksud: "Ingatlah kamu kepada-Ku, maka Aku akan mengingatimu."


Fadhilat dan kebesaran zikir juga ada dinyatakan di dalam hadis:

Rasulullah SAW bersabda, “Jika kamu melalui taman-taman syurga hendaklah kamu bertenang.” Maka para sahabat pun bertanya, “Ya Rasulullah SAW, apa itu taman-taman syurga?” Lalu Rasulullah SAW menjawab, “Taman syurga itu ialah halaqah zikir, maka sesungguhnya bagi Allah SWT itu tunggangan-tunggangan daripada para malaikat yang mencari-mencari halaqah zikir maka apabila mereka menemui kumpulan ini, para malaikat itu akan menghamparkan sayapnya menaungi mereka-mereka yang sedang berzikir.” (Apabila para malaikat menaungi kumpulan-kumpulan zikir ini, secara tidak langsung kumpulan ini mendapat rahmat dan keampunan Allah SWT). Hadis ini diriwayatkan oleh Abdullah Ibnu Umar.


Wallahua'lam.

Tuesday, October 27, 2009

Kisah mengenai sebuah keluarga Islam yang serba sederhana






السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Keluarga yang menjalankan segala tuntutan Allah S.W.T. Seorang anak perempuan telah dilahirkan lebih kurang hampir 20 tahun yang lepas. Dibesarkan dan dimanjakan mengikut lunas2 dan batas2 kehidupan seorang Muslim.

Sebuah keluarga yang riang dan sentiasa gembira dan bersyukur atas segala nikmat
yang diperolehinya.

Tanggal beberapa bulan yang lepas apabila anak kesayangan mereka yang mana sebelum ini tidak pernah berkelakuan ganjil, dengan tak semena-mena telah memberitahu ayahnya bahawa beliau ingin berkahwin.

Si ayah teramat terkejut apabila anaknya ingin berkahwin dengan lelaki HINDU, dan hampir pengsan apabila anaknya ingin berkahwin dalam adat resam agama HINDU..

Apalah perasaan hati ayah dan ibu serta keluarga jika anak kesayangan mereka yang satu ini, setelah dididik dan diberikan segala ILMU Duniawi dan Ukhrawi serta segala kasih sayang dan perhatian mereka sepenuhnya kepada si anak, tergamak untuk menyatakan perkara tersebut.

Namun, keluarga ini tidak berdiam diri. Mereka dengan segera telah membawa anak mereka untuk didoakan agar terbuka hatinya untuk kembali ke pangkal jalan. Mereka telah membawanya kepada seorang Ustaz..

Apabila tiba masanya bertemu muka dengan Ustaz tersebut dan apabila Ustaz Tersebut mula membaca ayat2 Allah S.W.T., mereka terkejut kerana mendapati anak mereka telah mula meraung dan menari tarian Hindu.

Kesimpulannya, Ustaz tersebut masih lagi merawat anak tersebut. Dan yang terpenting sekali adalah anak tersebut telah DISIHIRKAN untuk menyintai lelaki Hindu tersebut.

Pendek kata beliau DISIHIR untuk keluar ISLAM.

TINDAKAN - Dinasihatkan bahawa musuh ISLAM terutama IBLIS dan SYAITAN senantiasa mencari jalan untuk merosakan agama ISLAM kita.. Faktanya untuk mensihirkan lelaki muslim yang sentiasa mendirikan solat 5 kali sehari semalam adalah agak sukar (bukan tak boleh TAPI SUKAR), kerana mereka membaca ayat2 Allah S.W.T..

NAMUN bagi perempuan2 muslim, mereka ada pintu atau ruang yang membolehkan unsur sihir untuk menyerang dan menyerap kedalam akal fikiran serta hati jika tidak dibendung, apatah lagi yang tidak solat.

Disini, marilah muslimin dan muslimat semua untuk mengamalkan Ayatul Kursi, sebagai senjata untuk menghalang diserap oleh sihir yang tidak kelihatan ini. Jadikan ia amalan yang bersungguh-sungguh dan berdoa agar Allah S.W.T. sentiasa melindungi kita semua daripada kekufuran dan gangguan Syaitan.

Saranan juga, apabila masuk sahaja waktu solat, muslimin segera bersolat. Bagi muslimat yang boleh akan juga terus bersolat. Namun bagi yang tidak, akan juga duduk mengisi waktu itu dengan berzikir dan bermunajat.

Jangan biarkan waktu itu dihabisi dengan perkara selain daripada mengingati Allah S.W.T..

Akhir kata, sebarkanlah kepada semua muslimin dan muslimat agar mereka lebih dekat kepada Allah S.W.T dan terhindar daripada SIHIR dan MURTAD serta berdoalah buat semua muslimin dan muslimat.

NOTA:
Di sini tidak hairanlah kalau hampir 250,00 orang melayu ingin menukar agama mereka, malah Kes Aisyah. Seorang Ustazah Mesir berjaya dihindukan.

Dipercayai unsur cinta dan SIHIR adalah salah satu penyebab utamanya. Yakinlah bahwa jika kita hampir pada Allah S.W.T. dengan mengerjakan segala suruhanNya dan sentiasa memujiNya, maka Allah S.W.T. akan memelihara kita..

Insya-Allah.

Semoga Allah S.W.T. melindungi kita semua daripada kesesatan dan kekufuran.
semoga budak itu sembuh depenuhnya dari ganguan sihir tersebut. Amin...


Di riwayatkan bahawa pada suatu hari Rasulullah S.A.W sedang duduk bersama para sahabat. Kemudian datang pemuda Arab masuk kedalam masjid dengan menangis. Apabila Rasulullah S.A.W melihat pemuda itu menangis, maka baginda pun berkata, 'Wahai orang muda, kenapa kamu menangis?'

Maka berkata orang muda itu, 'Ya Rasulullah S.A.W, ayah saya telah meninggal dunia dan tidak ada kain kafan dan tidak ada orang yang hendak memandikannya.. ' Lalu Rasulullah S.A.W memerintahkan Abu Bakar r.a. dan Umar r.a. ikut orang muda itu untuk melihat masalahnya. Setelah mengikut orang itu, maka Abu Bakar r.a dan Umar r.a. mendapati ayah orang
muda itu telah bertukar rupa menjadi babi hitam. Maka mereka pun kembali dan memberitahu kepada Rasulullah S.A.W, 'Ya Rasulullah S.A.W, kami lihat mayat ayah orang ini bertukar menjadi babi hutan yang hitam..'

Kemudian Rasulullah S.A..W dan para sahabat pun pergi kerumah orang muda itu dan baginda pun berdoa kepada Allah S.W.T. Kemudian mayat itu pun tukar kepada bentuk manusia semula. Lalu Rasulullah S.A..W dan para sahabat menyembahyangkan mayat tersebut. Apabila mayat itu hendak dikebumikan, maka sekali lagi mayat itu berubah menjadi seperti babi hutan yang hitam. Maka Rasulullah S.A.W pun bertanya kepada pemuda itu,'Wahai orang muda, apakah yang telah dilakukan oleh ayahmu sewaktu dia didunia dulu?'

Berkata orang muda itu, 'Sebenarnya ayahku ini tidak mahu mengerjakan solat.' Kemudian Rasulullah S.A.W bersabda, 'Wahai para sahabatku, lihatlah keadaan orang yang meninggalkan sembahyang. Dihari kiamat nanti akan dibangkitkan oleh Allah S.W..T seperti babi hutan yang hitam.'

Di zaman Abu Bakar r.a ada seorang lelaki yang meninggal dunia dan sewaktu mereka menyembahyanginya, tiba2 kain kafan itu bergerak.
Apabila mereka membuka kain kafan itu, mereka melihat ada seekor ular sedang membelit leher mayat tersebut serta memakan daging dan menghisap darah mayat.

Lalu mereka cuba membunuh ular itu. Apabila mereka cuba untuk membunuh ular itu, maka berkata ular tersebut, 'Laa ilaaha illallahu Muhammadu Rasulullah, mengapakah kamu semua hendak membunuh aku? Aku tidak berdosa dan aku tidak bersalah. Allah S.W.T yang memerintahkan kepadaku supaya menyeksanya sehingga sampai hari kiamat.'

Lalu para sahabat bertanya, 'Apakah kesalahan yang telah dilakukan oleh mayat ini?' Berkata ular, 'Dia telah melakukan tiga kesalahan, di antaranya;

1. Apabila dia mendengar azan, dia tidak mahu datang untuk sembahyang
2. Dia tidak mahu keluarkan zakat hartanya.
3. Dia tidak mahu mendengar nasihat para ulama.

Maka inilah balasannya' .

Wallahua'lam.

Wasiat Nabi Untuk Wanita






السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Saidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda , “Hai Aisyah, aku berwasiat kepada engkau. Hendaklah engkau sentiasa mengingati wasiatku ini. Sesungguhnya engkau akan sentiasa di dalam kebajikan selama engkau mengingati wasiatku ini.”

Intisari wasiat Rasulullah s.a.w. tersebut dirumuskan seperti berikut. Hai Aisyah, peliharalah diri engkau. Ketahuilah bahawa sebahagaian besar daripada kaum engkau (kaum wanita) adalah menjadi kayu api di dalam neraka. Antara sebab-sebabnya ialah kerana mereka itu:

Tidak dapat menahan sabar dalam menghadapai kesakitan (kesusahan). Apabila dibalakan, mereka tidak bersabar.

Tidak memuji Allah s.w.t. di atas kemurahan Nya (mensyukuri nikmat), atau dalam erti kata lain mengkufuri nikmat.

Membanyakkan kata-kata yang sia-sia. Wahai Aisyah, ketahuilah bahawa:

1. Wanita yang menidak-nidakkan kebajikan (kebaikan) yang diberikan oleh suaminya akan
digugurkan oleh Allah SWT akan amalannya.


2. Wanita yang menyakiti hati suaminya dengan lidahnya, maka pada hari kiamat, Allah SWT
menjadikan lidahnya 70 hasta dan dibelitkan di tengkuknya.


3. Isteri yang memandang jahat (menuduh atau menaruh
sangkaan buruk terhadap suaminya), Allah SWT akan
menghapuskan muka dan tubuhya pada hari kiamat.


4. Isteri yang tidak memenuhi kemahuan suaminya (yang
halal/harus) di tempat tidur atau menyusahkan urusan ini
atau mengkhianati suaminya, akan dibangkitkan Allah SWT
pada hari kiamat dengan muka yang hitam, matanya kelabu,
ubun-ubunnya terikat kepada dua kakinya di dalam neraka.


5. Wanita yang mengerjakan sembahyang dan berdoa untuk
dirinya tetapi tidak untuk suaminya, akan dipukul mukanya
dengan sembahyangnya.


6. Wanita yang dikenakan bala ke atasnya lalu dia menampar-nampar mukanya atau mencarik-
carikkan pakaiannya, dia akan dimasukkan ke dalam neraka bersama dengan isteri Nabi Nuh
dan isteri Nabi Luth dan tiada harapan mendapat kebajikan syafaat dari sesiapa pun.


7. Wanita yang berzina akan diderakan dia di hadapan segala makhluk di hadapan neraka pada
hari kiamat dan tiap-tiap perbuatan zina dengan 80 cemeti daripada api.


8. Isteri yang mengandung itu adalah baginya pahala seperti berpuasa pada siang harinya dan
mengerjakan qiamullail pada malamnya serta pahala berjuang fisabilillah.


9. Isteri yang bersalin, bagi tiap-tiap kesakitan yang dideritainya diganjari pahala
memerdekakan seorang sahaya. Demikian juga pahalanya setiap kali menyusukan anaknya.


10. Wanita apabila bersuami dan bersabar daripada menyakiti suaminya, maka samalah dengan
titik-titik darah dalam perjuangan fisabilillah. Dialah antara wanita-wanita yang qanitat
(banyak beribadat kepada Allah SWT )


Semoga Allah SWT beri kekuatan kepada kita untuk mengamalkan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Insyaallah..

Wallahua'lam.

Sunday, October 25, 2009

Kawan Di Akhir Zaman






السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Kawan akhir zaman ini
Payah untuk kita ketemui
Yang benar benar sibuk
Dengan urusan memperbaiki diri nya
Yang benar benar sibuk
Untuk mengubah sikapnya
Untuk kembali kepada Zat yang sempurna

Yang ada kini hanyalah
Sibuk dengan urusan mengumpul harta dunia
Walau di ketahui dunia ini hanya sementara

Kawan di akhir zaman ini
Payah untuk kita ketemui
Yang bergelumang dengan majlis ilmu manafaat
Yang sanggup bersusah payah dan berpenat-lelah
Yang sanggup menghabiskan masa, tenaga, umur dan harta
Dalam mengejar dan memahami ilmu menafaat

Yang ada kini hanya lah
Berbangga dengan harta yang menimbun
Tapi jiwanya masih kosong belaka

Kawan di akhir zaman ini
Payah untuk kita ketemui
Ahli professional yang bertaqwa
Yang benar-benar melekat iman di jiwanya
Mengunakan professionnya menuju cita2 di akhirat sana

Yang ada kini hanyalah
Ahli professional yang lalai dan leka
Yang hidup nya lebih berat dari barat
Iman dan amal soleh terasa amat berat baginya

Kawan di akhir zaman ini
Payah untuk kita ketemui
Bersifat silaturrahim semata-mata kerana Allah S.W.T.
Saling berhubungan dan bertanya khabar semata-mata kerana Allah S.W.T.

Yang ada kini hanyalah
Sikap pura-pura untuk menyenangkan hati sendiri
Bersahabat untuk mendapat habuan dan kepentingan diri

Kawan di akhir zaman ini
Payah untuk kita ketemui
Yang suka berbincang tentang usaha untuk mengurus diri sendiri
Yang menghidupkan dan mengamalkan ilmu yang dipelajari
Untuk kepentingan masyarakat Islam sendiri
Yang mensyiarkan Islam pada diri mereka

Yang ada kini hanyalah
Yang suka berbincang tentang usaha untuk menambahkan harta dunia
Yang menghidupkan budaya barat
Sehingga melupakan kehidupan akhirat yang lebih kekal

Kawan di akhir zaman ini
Susah untuk kita ketemui
Yang menjadikan majlis-majlis Al Quran tempat pertemuan
Yang menjadikan majlis-majlis Agama tempat berkenalan

Yang ada kini hanyalah
Yang menjadikan kompleks membeli belah tempat membuang masa dan umur
Yang menjadikan disko dan pesta hiburan sebagai tempat berhibur

Kawan di akhir zaman ini
Susah untuk kita ketemui
Yang menjadikan Al Quran sebagai hiburan
Menjadikan zikir dan selawat sebagai ucapan kelaziman

Yang ada kini hanyalah
Artis di jadikan bahan pujaan
Nyanyian melalaikan di jadikan hiburan
Dianggap moden dan berketerampilan

Kawan di akhir zaman ini
Susah untuk kita ketemui
Yang sentiasa merasai mati itu sangat hampir
Yang sentiasa merasai jelingan Izrail
Yang bersungguh sungguh memperbaiki iman dan amal sebelum kematian
Yang bersungguh sungguh memperbaiki sikap sendiri untuk masa depan diakhirat

Yang ada kini hanyalah
Yang panjang angan-angannya
Yang sibuk mengumpul dunia kerja seharian
Seolah-olah kematian itu masih jauh
Seolah-olah alam barzakh itu tidak akan ditempuh....

Wallahua'lam.

Thursday, October 22, 2009

15 seksaan di dunia, akhirat jika tinggal solat






السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa meninggalkan solat dengan sengaja, maka sesungguhnya dia kafir yang nyata."

Berdasarkan hadis ini, sebahagian ulama berfatwa tidak wajib menyembahyangkan jenazah seseorang yang meninggal dan mengaku Islam, tetapi tidak pernah mengerjakan solat. Malah, ada yang mengatakan haram menyembahyangkan individu berkenaan.

Seksaan dan azab bagi orang yang lalai serta meninggalkan solat seperti sabda Rasulullah SAW: "Siapa meringan dan melalaikan solat lima waktu yang difardukan ke atasnya, akan menerima seksaan atau azab Allah dengan 15 azab."

Enam daripada seksaan itu diterima di dunia, tiga ketika hampir ajalnya, tiga ketika berada di dalam kubur dan tiga lagi ketika berjumpa Allah pada hari kiamat.

Sahabat bertanya: "Ya Rasulullah, apakah seksaan ketika di dunia?"

Jawab Baginda:

1l Hilang berkat umurnya (hidup percuma dengan kekosongan, jika hidup mewah, kemewahan itu hanya istidraj belaka).

2l Hilang keberkatan rezekinya (rezekinya terbuang sia-sia, walaupun kaya, tetapi kekayaan itu menjadi laknat ke atasnya).

3l Dihilangkan Allah s.w.t. tanda salih pada mukanya.

4l Tidak diakui masuk golongan Islam (zahirnya saja Islam tetapi batinnya munafik, malah dia termasuk golongan munafik).

5l Segala amal baiknya (sedekah dan sebagainya) tidak diberi ganjaran.

6l Doanya ditolak Allah.

Hadis riwayat Ibnu Abbas, katanya: Aku dengar Rasulullah SAW bersabda: "Bermula orang meninggalkan solat itu, bukanlah dia daripada golongan Islam. Allah S.W.T. tidak terima tauhid dan imannya dan tidak ada faedah sedekah, puasa dan syahadatnya."

Kemudian bertanya lagi sahabat: "Ya Rasullullah SAW, apa pula seksaan yang akan diterimanya ketika hampir ajalnya?"

Jawab Baginda:

1l Adalah matinya dalam kehinaan iaitu, rohnya dicabut dengan kasar dan tidak ada belas kasihan.

2l Matinya juga dalam kelaparan, bukan kerana tiada makanan, tetapi nafsunya tiada lagi, perut lapar tetapi tidak dapat makan sesuatu kerana sakit ketika roh akan keluar.

3l Matinya juga dalam kehausan, malah jika diberi minum air dari semua lautan di dunia ini tidaklah memberi apa-apa kesan pada dahaganya ketika sakaratul maut.

Sahabat bertanya lagi: "Ya Rasulullah SAW, apa pula seksaan di dalam kuburnya?"

Rasulullah SAW bersabda: "Disempitkan Allah kuburnya, digelapkan Allah kuburnya, dan akan diperintahkan Allah beberapa malaikat menyeksanya hingga hari kiamat tanpa henti."

Ada riwayat menyatakan, orang yang meninggalkan solat, akan Allah S.W.T. hantarkan kepadanya seekor ular besar bernama Suja'ul akra', yang matanya daripada api, mempunyai tangan dan berkuku besi, dengan membawa alat pemukul dari besi berat.

Ia akan berkata, kepada si mati dengan suaranya bagai halilintar: "Aku disuruh oleh Allah S.W.T. memukul engkau sebab meninggalkan solat dari Subuh hingga Zuhur, kemudian dari Zuhur ke Asar, dari Asar ke Maghrib dan dari Maghrib ke Isyak hingga Subuh."

Lalu Suja'ul akra' terus memukul mayat orang yang meninggalkan solat dan setiap kali dipukul, mayat itu terbenam ke dalam bumi beberapa ratus hasta.

Kemudian dikeluarkan mayat itu dengan kuku besinya lantas ditanya lagi dan dipukul lagi hingga hari kiamat.

Sahabat bertanya lagi: "Ya Rasulullah SAW, bagaimanakah keadaan orang yang meninggalkan solat ketika di depan Allah S.W.T.?"

Jawab Baginda: "Ketika bertemu Allah S.W.T. pada hari kiamat kelak, datang malaikat menyeksanya dengan rantai panjang. Rantai itu diikat ke leher orang yang meninggalkan solat serta dimasukkan ke mulutnya dan dikeluarkan melalui duburnya. Kemudian rantai itu ditarik dan disentap.

Malaikat yang menghelanya berteriak: "Inilah balasan bagi orang meninggalkan solat yang difardukan. Kemudian orang itu ditarik serta dilemparkan ke neraka bernama Saqar."

Kedua, ketika berjumpa Allah S.W.T., orang yang tidak menunaikan solat tidak akan mendapat keampunan Allah S.W.T..

Ketiga, ketika dibangunkan semula pada hari kebangkitan, Allah S.W.T. tidak menaruh rahmat dan belas kasihan kepadanya.

Firman Allah S.W.T. bermaksud; "Mereka yang mensia-siakan solat dan mengikuti hawa nafsu kepada kejahatan, maka tetaplah mereka jatuh ke dalam satu telaga api neraka." (Surah Maryam, ayat 59).

Wallahua'lam.

25 Pesanan Luqmanul Hakim kepada anaknya...






السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

01 - Hai anakku: ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yang bernama TAKWA, ISInya ialah IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKKAL kepada ALLAH s.w.t..

02 - Orang - orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari ALLAH s.w.t.. Orang yang insaf dan sedar setalah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemulian dari ALLAH s.w.t. juga.

03 - Hai anakku; orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada ALLAH s.w.t., maka dia tawadduk kepada ALLAH s.w.t., dia akan lebih dekat kepada ALLAH s.w.t. dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada ALLAH s.w.t..

04 - Hai anakku; seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman.

05 - Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.

06 - Dan selalulah berharap kepada ALLAH s.w.t. tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai ALLAH s.w.t.. Takutlah kepada ALLAH s.w.t. dengan sebenar benar takut (takwa), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat ALLAH s.w.t..

07 - Hai anakku; seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak melamunkan hal hal yang tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.

08 - Hai anakku; engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada semua itu, adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.

09 - Hai anakku; janganlah engkau mengirimkan orang yang bodoh sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.

10 - Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya.

11 - Hai anakku; bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedang kan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu
kepada kesenangan duniawi sahaja.

12 - Janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.

13 - Hai anakku; janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan saja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.

14 - Makanlah makananmu bersama sama dengan orang-orang yang takwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.

15 - Hai anakku; bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu bakar, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.

16 - Hai anakku; bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu, maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati-hatilah.

17 - Selalulah baik tuturkata dan halus budibahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.

18 - Hai anakku; bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.

19 - Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya~ yang akan mendatangkan cela pada dirimu.

20 - Hai anakku; janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan olah dunia saja kerana engkau diciptakan ALLAH s.w.t. bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.

21 - Hai anakku; usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata-kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.

22 - Hai anakku; janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia-siakan hartamu.

23 - Barang sesiapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan menyesal.

24 - Hai anakku; bergaullah rapat dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata-katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.

25 - Hai anakku; ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain.
Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.

Semoga bermanafaat,

Wallahua'lam.

Wednesday, October 21, 2009

1001 MANIS JANJI SYAITAN






السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Janji dan Sumpah Iblis Terhadap Wanita

Iblis laknatullah membisikkan kepada para wanita bahawa apa jua pakaian termasuk hijab tidak ada kaitannya dengan agama, sebaliknya ia hanya sekadar pakaian atau gaya hiasan.

Apabila seorang wanita masih bertahan dengan prinsip hijabnya, maka syaitan beralih dengan strategi yang lebih halus.

Bagaimanakah caranya?

1. Membuka Bahagian Tangan

Kebiasaannya telapak tangan sudah terbuka, maka syaitan membisikkan kepada para wanita agar ada sedikit peningkatan fesyen, iaitu membuka bahagia hasta (siku hingga telapak tangan).

"Ah!Tidak apa-apa, kan masih pakai tudung dan pakai baju panjang."Begitu bisikan syaitan.

Akhirnya si wanita menampakkan tangannya dan ternyata para lelaki melihatnya juga seperti biasa.

Maka syaitan berbisik, "Hah,tak apa-apa kan?"

2. Membuka Leher dan Dada

Setelah menampakkan tangan menjadi kebiasaan, maka datanglah syaitan untuk membisikkan perkara baru lagi.

"Kini buka tangan sudah menjadi lumrah, maka perlu ada peningkatan fesyen yang lebih maju lagi, iaitu terbuka bahagian atas dada kamu, tetapi jangan sebut sebagai pakaian terbuka, hanya sedikit untuk mendapatkan hawa agar tidak panas. Cubalah! Orang pasti tidak akan peduli kerana sebahagian sahaja yang terbuka."

Maka dipakailah pakaian fesyen terbaru yang terbuka bahagian leher dan dadanya dari fesyen setengah lingkaran hingga fesyen berbentuk "V".


3. Berpakaian tapi Telanjang

Syaitan berbisik lagi, "Pakaianmu hanya begitu-begitu saja, cubalah fesyen yang lebih bagus! Banyak kain yang agak tipis, lalu bentuknya dibuat agak ketat biar lebih indah dan cantik dipandang."

Maka tergodalah si wanita. "Mungkin tidak ada masalah, kan potongan pakaiannya masih panjang, hanya bahan dan fesyennya sahaja yang berbeza, agar nampak lebih feminin," begitu syaitan menokok-nambah.

Maka, jadilah mereka wanita yang disebut oleh Nabi s.a.w sebagai kasiyat 'ariyat (berpakaian tapi telanjang).

4. Agak Terbuka Sedikit

Setelah para muslimah mengenakan pakaian yang ketat, maka syaitan datang lagi.

"Pakaian seperti ini membuat susah berjalan atau duduk, kerana sempit, kan lebih baik dibelah hingga lutut atau mendekati peha? Dengan itu kamu lebih selesa."

Lalu dicubalah idea baru itu, dan memang benar dengan dibelah mulai dari bahaian bawah hingga lutut atau mendekati peha ternyata lebih selesa dan mudah untuk duduk atau menaiki kenderaan.

5. Tudung Semakin Kecil

Kini syaitan melangkah dengan tipu daya lain yang lebih "power".

Tujuannya adalah agar para wanita menampakkan bahagian auratnya. "Oh, ada yang terlupa! Kalau kamu pakai baju sedemikian, maka tudung yang besar tidak sepadan lagi. Sekarang kamu cari tudung yang lebih kecil agar serasi dan sepadan. Orang tetap akan menamakannya tudung."

6. Terdedah

Si wanita ternyata selesa dengan fesyen baru yang dipakainya seharian. Syaitan datang memberi idea lagi. "Rambutmu sangat cantik. Bukankah lebih selesa jika tudungmu dilepaskan. Kamu bebas mencuba fesyen rambut yang pelbagai. Malah, kamu boleh mewarnakan mengikut warna yang kamu suka supaya kelihatan lebih menawan."

Maka, sekali lagi syaitan berjaya mempengaruhi si wanita supaya mendedahkan rambutnya.



7. Membuka Seluruh

Syaitan kembali berbisik, "Kalau langkah kakimu masih kurang selesa, maka cubalah kamu cari fesyen yang lebih menarik. Bukankah kini banyak skirt separuh betis dijual di pasaran? Tidak usah terlalu terdedah, hanya kira-kira 10 sentimeter sahaja. Nanti kalau kamu sudah biasa, baru cari fesyen yang di atas paras lutut"

Benar-benar bisikan syaitan telah menjadi penasihat peribadinya.

Maka terbiasalah dia memakai pakaian terdedah.

Terkadang si wanita berfikir, apakah ini tidak bersalahan dengan agama?

Namun bisikan syaitan menyahut, "Ah, jelas tidak bersalahan. Kan sekarang zaman sudah semakin moden. Kamu hanya mengikut arus fesyen masa kini."

"Tetapi, apakah ini tidak menjadi fitnah bagi kaum lelaki?" hati si wanita curiga..

"Fitnah? Ah, kalau kaum lelaki melihat bahagian tubuh wanita yang terbuka, malah senang dan mengatakan ooh atau wow, bukankah ini bererti sudah tidak ada fitnah lagi, kerana sama-sama suka?" syaitan menghasut.

Begitulah sesuatu yang seakan-akan mustahil untuk dilakukan.

Namun syaitan tidak pernah berhenti membisikkan hasutan-hasutan jahat sehingga ke saat kematian seorang anak Adam itu.

Hingga pada suatu ketika nanti akan muncul idea untuk mandi di kolam renang atau di pantai secara terbuka, di mana hanya dua bahagian sahaja yang ditutupi iaitu kemaluan dan buah dada!!!

Ingatlah, syaitan laknatullah hanya pandai menjanjikan kita dengan janji-janji palsu yang halus dan memikat, janji untuk keseronokan dunia, tetapi sebenarnya janji itu palsu dan racun yang mematikan! Nauzubillah...

Wallahua'lam.

Jangan menghina orang kerja kilang. Selagi hayat ada... Bahagiakan IBUBAPA






السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Lapang benar dada Pak Hassan bila pegawai yang bertugas di kaunter pejabat Tabung Haji itu memberitahu nama dia dan isterinya turut tersenarai dalam senarai jemaah yang akan menunaikan fardhu haji pada tahun ini.

'Tapi pak cik kena bayar segera bahagian makcik yang masih tak cukup tiga ribu lagi tu. Selewat-lewatnya minggu depan bayaran mesti dibuat,' kata pegawai itu.

'Insya Allah encik. Saya akan bayar seberapa segera,' janji Pak
Hassan.

Berita gembira itu ingin segera dikongsi bersama isteri kesayangannya.
Sebaik keluar dari pejabat Tabung Haji dia terus balik ke rumah.

'Pah... oo..Pah!' teriak Pak Hassan sebaik turun dari keretanya.
'Apa bendanya terlolong-lolong ni bang?' tanya Mak Pah.

' Ada berita baik ni Pah, nampaknya hajat kita nak ke Mekah tahun ini akan tertunai. InsyaAllah dua bulan lagi kita akan ke sana. Tak sabar betul saya, rasa macam Kaabah tu dah melambai-lambai, ' cerita Pak Hassan dengan wajah berseri-seri.

'Betul ke ni bang? Baru semalam si Johari beritahu dia dengan Minah tak dapat pergi. Namanya tidak ada dalam senarai.' kata Mak Pah.

'Betullah Pah oii... saya ni baru je balik dari pejabat Tabung Haji. Cuma duit bahagian awak tu, tiga ribu lagi kena bayar segera selewat-lewatnya minggu depan.'

'Mana kita nak cari duit banyak tu bang? Tiga ribu tu bukan sikit, itu pun lepas duit tambang. Duit kocek mau juga sekurang-kurangnya dalam seribu.' Mak Pah merenung gusar wajah suaminya.

'Alah Pah, kita mintalah tolong dengan Muaz dan Balkis. Takkanlah mereka tak nak beri. Bukannya banyak, cuma dua ribu seorang saja.' Wajah Pak Hassan semakin berseri-seri. Dia yakin anak- anaknya yang dua orang itu tidak akan menghampakan harapannya.

'Lusa hari minggu, saya nak suruh budak-budak tu balik boleh kita berunding,' cadang Pak
Hassan. 'Kalau tak cukup bahagian saya tu, awak ajelah yang pergi dulu. Tak elok kita menyusahkan anak-anak bang, lagipun apa pula kata menantu kita nanti nak ke Mekah minta duit anak-anak.' Mak Pah tidak bersetuju dengan rancangan Pak Hassan.

'Pah... Muaz dan Balkis tu kan anak-anak kita. Kita dah besarkan mereka, hantar belajar tinggi-tinggi takkan nak hulur dua ribu pun tak boleh lagipun selama ni kita tak pernah minta duit mereka. Tak usahlah awak bimbang Pah, saya yakin anak-anak kita tu tak akan menghampakan kita kali ni.' Yakin benar Pak Hassan, harapan yang menggunung digantungkan kepada anaknya.

'Tapi bang?... '

'Dahlah... pegi siapkan kerja awak tu, tak usah nak risau tak tentu hala. Saya nak telefon budak-budak tu,' pintas Pak Hassan sebelum Mak Pah melahirkan kebimbangannya. Lega hati Pak Hassan bila Muaz menyatakan yang dia akan pulang kemudian Pak Hassan menelefon Balkis pula di pejabatnya. Dia hanya menyuruh mereka balik tanpa memberitahu hajatnya.
'Insya Allah Kis balik nanti abah. Emm... abah nak Kis suruh Intan balik sama?' tanya Balkis.

'Ikut suka kaulah, bagi abah yang pentingnya kau dan Muaz. Intan tu ada ke tidak ke, sama aje. Balik ya?... ,' balas Pak
Hassan.

Bukannya dia membeza-bezakan anak-anak tapi hati tuanya cepat benar panas bila berhadapan dengan Intan. Sikap degil dan tak mahu mendengar kata anaknya itu menyebabkan dia tersangat geram. Sudahlah malas belajar tidak seperti Muaz dan Balkis yang berjaya memiliki ijazah. Kalau ditegur sepatah, sepuluh patah tidak menjawab tidak sah. Masih Pak
Hassan ingat
gara-gara sikap keras kepala Intan untuk bekerja kilang mereka bertengkar besar tiga tahun lalu. Kini hubungan mereka seperti orang asing.

'Abah tak setuju kau nak kerja kilang kat KL tu. Abah mahu kau sambung belajar lagi.' Pak
Hassan tidak bersetuju dengan niat Intan yang hendak bekerja kilang.
'Intan dah tak minat nak belajar lagi abah, biarlah Intan kerja kilang. Kerja kilang pun bukannya haram.' bantah Intan menaikkan darah Pak
Hassan.

'Aku suruh kau belajar kau tak nak, kau nak kerja kilang. Kau tak tengok berapa ramai anak gadis yang rosak akhlak kerja kilang duk kat KL jauh dari mak bapak, bolehlah buat apa yang kau sukakan. Kau nak bebas macam tu?'
'Itulah abah, selalu nampak yang buruk aje. Bukan semua yang kerja kilang duk kat KL tu jahat abah. Kerja apa dan kat mana pun sama aje, pokok pangkalnya, hati. Kalau nak buat jahat dalam rumah pun boleh, abah.' Intan cuba membuat abahnya faham.

'Kenapalah kau seorang ni lain benar dari abang dan kakak kau. Cuba kau tengok Balkis tu, tak pernah dia membantah cakap abah macam kau ni!'
'Intan memang tak sama dengan Kak Balkis abah, Intan suka berterus terang, kalau tak kena Intan cakap depan-depan bukan membebel kat belakang,' balas Intan selamba menyemarakkan lagi bara dalam dada abahnya.

'Anak tak mendengar kata!!, ikut suka kaulah. Kalau kau nak pergi, pergi... aku dah tak larat nak larang. Nak terlentang ke?, telangkup ke?, gasak kaulah. Kau buat apa yang kau suka, aku tak nak ambil tahu lagi!!'

Sejak kejadian itu, Pak
Hassan memang tidak memperdulikan langsung apa yang Intan nak buat. Namun begitu Intan tetap pulang setiap kali cuti, dia bersikap selamba biarpun abahnya tidak memperdulikannya. Intan selalu menghulur duit tapi hanya kepada maknya sahaja. Riang hati Pak Hassan bukan kepalang bila anak-anaknya pulang, tambahan pula dia sudah rindu dengan cucu-cucunya. Malam itu selesai menikmati makan malam dan berjemaah sembahyang Isya', mereka duduk berborak di ruang tamu.

'Sebenarnya ayah suruh kau orang balik ni, ada hajat sikit,' Pak Hassan memulakan bicara.
'Hajat apa pula abah?' tanya Muaz yang duduk di sebelahnya.

'Abah dan mak kau nak ke Mekah, nama dah ada dalam senarai. Memandangkan bahagian mak kau masih belum cukup lagi abah nak minta Kau dan Balkis bantu sikit. Tak banyak, dua ribu seorang cukuplah,' Pak
Hassan mengutarakan hasratnya.
'Boleh tu boleh abah, tapi kena tunggu sebulan dua lagi. Az baru aje keluarkan wang simpanan buat duit muka beli rumah. Sebulan dua lagi bolehlah Az ikhtiarkan,' ujar Muaz.

'Tapi... pegawai Tabung Haji tu minta bayaran dibuat segera selewat- lewatnya minggu depan.'
'Kalau dalam seminggu dua ni abah, memang rasanya tak dapat. Paling tidak pun cukup bulan ni. Nak cukupkan duit muka tu pun habis duit simpanan budak-budak ni Az keluarkan,' jawab Muaz serba salah.

'Kau beli rumah lagi? Rumah yang ada tu kau nak buat apa?' tanya Pak
Hassan melindungi kekecewaannya.

'Rumah baru tu besar sikit, abah. Selesalah buat kami sebab budak- budak tu pun dah besar, masing-masing nak bilik sendiri. Lagipun beli rumah tak rugi abah, pelaburan masa depan juga,' sampuk Mira isteri Muaz.

Pak Hassan terdiam, harapannya kini cuma pada Balkis. 'Kamu macam mana Kis, boleh tolong abah? Nanti abah bayarlah balik duit kamu tu bila ada rezeki durian berbuah kat dusun kita tu nanti,' Pak Hassan berpaling Pada Balkis.

'Kis pun rasanya tak dapat nak tolong abah. Kis baru aje keluarkan duit simpanan buat menambah modal perniagaan abang Man. Tengah gawat ni faham ajelah... ni tak lama lagi nak bersalin nak pakai duit lagi.'

Hancur berderai rasa hati Pak
Hassan mendengar jawapan Balkis.
'Man bukan tak nak tolong abah. Kalau nak pinjam duit kad kredit boleh. Tapi yelah, kata orang kalau nak ke Mekah ni tak elok pakai duit pinjaman.' 'Betul kata Man tu abah. Kalau nak ke Mekah mesti dengan kemampuan sendiri baru elok,' sokong Muaz. Kata-kata Azman dan Muaz bagaikan sembilu yang menikam dada Pak
Hassan. Bila dia bertemu pandang dengan Intan, Pak Hassan terasa bagai ditertawakan oleh Intan bila kedua anak yang diharap-harapkan menghampakannya.

'Tak apalah kalau kau orang tak ada duit. Biarlah abah kau pergi seorang dulu, nanti kalau ada rezeki mak pula pergi,' Mak Pah bersuara cuba meredakan keadaan.

'Kalau nak pergi sendiri, dah lama saya pergi Pah!. Tak payah saya tunggu lama-lama. Kalau awak tak pergi biarlah kita sama-sama tak pergi... dah tak ada rezeki kita nak buat macam mana?' Pak
Hassan bangun masuk ke bilik meninggalkan anak-anaknya dengan rasa kesal.

Intan tahu abahnya benar-benar kecewa. Walaupun orang tua itu tidak menunjukkan rasa kecewanya tapi Intan faham kecewa abahnya teramat sangat kerana tidak menduga anak-anak yang selama ini disanjung akan mengecewakannya begitu.

'Anak awak tu tak balik ke?' tanya Pak
Hassan pada Mak Pah bila Intan tidak turut serta balik bersama abang dan kakaknya.

'Tak, katanya cuti sampai hari Rabu nanti,' balas Mak Pah sambil mencapai kain selendangnya. 'Nak ke mana pulak tu?' tanya Pak
Hassan melihat Mak Pah bersiap-siap.

'Nak ke kedai Long Semah tu nak belikan anak saya Intan, kuih lepat ubi kegemarannya.' Sengaja Mak Pah menekan suara bila menyebut anaknya. Bukan sekali dua dia menegur sikap Pak
Hassan yang gemar membeza-bezakan anak.

Pagi Isnin tu selepas bersarapan Intan bersiap-siap hendak keluar.
'Nak ke mana Intan pagi-pagi lagi dah bersiap ni?'
'Intan ada hal sikit kat bandar mak. Intan pergi dulu ye.'
'Kalau nak ke bandar suruhlah abah kau tu hantarkan,' suruh Mak Pah.
'Tak payahlah mak, Intan nak pergi banyak tempat ni. Nanti bising pula abah tu. Intan pergi dulu.' sambil mencium tangan Mak Pah yang menggeleng kepala memerhatikan Intan berlalu pergi.

Kadangkala sedih hatinya melihat sikap suaminya yang keras hati, membuat anaknya itu menyisihkan diri. Ketika Intan pulang dari bandar tengah hari itu mak dan abahnya sedang
menikmati juadah tengah hari.

'Kau ni Tan buat benda apa lama benar kat bandar tu? Mari makan sama. Ni abah kau ada beli ikan baung salai, mak masak lemak cili api.'

'Ingat lagi abah lauk kegemaran Intan rupanya,' usik Intan tak bertangguh mencapai pinggan.
'Mak bapak memang tak pernah lupakan anak-anak, cuma anak-anak aje yang lupakan mak bapak,' jawab Pak
Hassan sinis. Intan tersenyum pahit. Selesai mengemas pinggan mangkuk, Intan menunaikan solat Zohor kemudian dia mendapatkan mak dan abahnya yang sedang duduk di ruang tamu. Abahnya sedang membaca suratkhabar. Mak Pah pula melipat kain.

'Mak, abah... Intan ada hal sikit nak cakap ni... ,' ujar Intan menghampiri mereka. Pak
Hassan menurunkan suratkhabar yang dipegangnya kemudian menanggalkan cermin mata yang digunakan untuk membaca.

'Apa hal... kamu nak kahwin ke?' soal Pak
Hassan merenung Intan. Tawa Intan meledak tiba-tiba mendengar soalan abahnya. Melihat Intan tergelak besar Pak Hassan turut tertawa. Mak Pah pun tergelak sama, riang rasa hatinya melihat kemesraan yang hilang dulu mula menyatu. 'Abah ni... ke situ pulak....'

'Habis tu?'

'Ini... Buku Tabung Haji mak. Tadi Intan ambil dalam laci tu. Yang ni, resit memasukkan duit ke akaun mak. Semuanya Intan dah uruskan. Dan ini dua ribu untuk buat duit kocek mak dan abah. Yang dua ratus lagi ni untuk buat kenduri doa selamat sebelum berangkat nanti.' Intan memasukkan duit itu dalam genggaman Pak
Hassan.

'Apa??' Pak
Hassan terkejut matanya merenung Intan dan duit di tangannya bagai tidak percaya.

'Ini duit simpanan Intan sejak mula bekerja dulu. Duit hasil titik peluh Intan yang halal abah, terimalah. Selama ini Intan banyak kali kecewakan abah. Intan tak pernah dapat membahagiakan hati abah. Selama ini pun Intan selalu sangat rasa kalah pada abang Az dan Kak Balkis. Intan tak cantik dan baik macam Kak Balkis, apatah lagi bijak seperti mereka. Intan tahu abah selalu kecewa dengan Intan. Hanya kali ini Intan dapat tunaikan hasrat abah. Dah banyak kali abah tangguhkan hasrat nak naik haji. Dulu kerana Kak Balkis nak kahwin, lepas tu mak pula tak sihat. Sekarang ni masa yang sesuai. Intan harap, abah sudi terima pemberian yang tak seberapa ini dari Intan,' tutur Intan perlahan memerhatikan airmata menuruni pipi abahnya yang sudah berkedut dimamah usia.

'Terima kasih Intan. Malu rasanya abah nak ambil duit kamu... dulu abah selalu bangga dengan Balkis dan Muaz yang memegang jawatan tinggi tapi akhirnya anak abah yang kerja kilang yang membantu abah,' luah Pak
Hassan sambil mengesat airmata terharu atas keluhuran hati anak yang selama ini dimusuhinya.

'Sudahlah abah. Yang lepas itu tak usahlah kita ungkit-ungkit lagi. Intan gembira abah sudi terima pemberian Intan.'

'Pemberian kau ni terlalu bernilai bagi abah dan mak kau Intan...'ujar Pak
Hassan. Intan peluk abahnya erat.

'Hah... tulah, jangan suka memperkecil- kecilkan anak saya ni,' Mak Pah mengusik Pak
Hassan sambil mengesat airmata penuh kesyukuran.

'Mak ni... ,' gelak Intan memandang abahnya yang tersengih.

Masa yang ditunggu-tunggu tiba dalam keriuhan sanak saudara yang datang menziarahi Pak
Hassan dan Mak Pah. Intan memerhati dengan perasaan gembira bercampur hiba.

'Semua dah siap ke mak?' tanya Intan menjenguk ke bilik emaknya memerhatikan Mak Pah mengisi barang keperluan semasa di Mekah.

'Dah rasanya... ada apa-apa yang Intan nak pesan mak belikan di sana nanti?'
'Tak ada mak. Mak janganlah fikir soal apa yang nak dibeli mak. Yang penting mak dapat menunaikan ibadah dengan sempurna.'

'Hah, awak dengar tu.... kita ni nak pergi menunaikan ibadah, bukan nak membeli-belah, ' tambah Pak
Hassan yang turut mendengar perbualan dua-beranak itu.

'Intan tak nak mak dan abah belikan satu apa pun dari sana . Hanya satu yang Intan mahu, doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat,' pesan Intan sambil memeluk emaknya. Mak Pah dan Pak Hassan berpandangan. Tiba-tiba sebak dengan permintaan Intan itu.

Hanya dua jam lagi kapal terbang akan mendarat di tanah air. Pak Hassan mengerling Mak Pah yang lena di sebelahnya. Dalam keriangan telah menunaikan ibadah haji tanpa sebarang kesulitan, terselit rasa tidak sedap di hati. Perasaan rindu pada anak-anak terutama Intan bagai menyentap tangkai hatinya. Pak Hassan terkenangkan mimpinya bertemu Intan di tanah
suci. Intan tidak berkata sepatah pun tapi bagai memberitahu yang dia akan pergi jauh.
'Kenapa resah aje ni, bang?' Mak Pah terjaga.

'Entahlah Pah, saya teringat sangat dengan Intan dan anak-anak kita.'

'Sabarlah, dah nak sampai dah ni,' pujuk Mak Pah.

Dari jauh lagi Pak
Hassan sudah melihat Muaz dan Azman menanti mereka.

'Mak... abah... ,' Muaz meraih emaknya dalam pelukan dan kemudian abahnya tanpa dapat menahan airmata menitis laju.
'Mana yang lain ni, kamu berdua aje?' Pak
Hassan tertinjau-tinjau mencari wajah Intan.
'Mereka menanti di rumah, abah,' beritahu Azman suami Balkis sambil mencium tangan Pak
Hassan. 'Intan pun tak datang juga ke?' Tanya Pak Hassan terasa hampa.

'Awak ni... kan Man dah kata mereka menunggu di rumah.' Mak Pah menggeleng, dua tiga hari ini nama Intan tak terlepas dari mulut suaminya. Perjalanan tiga jam dari KLIA untuk sampai ke rumah terasa begitu lama oleh Pak Hassan. Mak Pah yang melihat kegelisahan suaminya turut
berasa bagai ada yang tak kena.
'Dua tiga malam sebelum balik, abah kau mengigau terjerit-jerit dia panggil nama Intan. Kalau Intan dengar cerita ni tentu dia gelihati.' cerita Mak Pah pada Muaz dan Azman. Muaz diam sambil mengerling Azman yang sedang memandu.
'Tentulah abah ingatkan Intan, sebab Intan yang bagi dia duit,' balas Muaz cuba bergurau walaupun terasa sayu.

'Tapi, abah rasa macam ada yang tak kena aje Az, dalam mimpi abah tu, abah nampak Intan macam nak beritahu dia nak pergi jauh. Tapi dia tak bercakap pun hanya renung abah. Intan tak ada cakap apa-apa dengan kau Az?'
'Err... tak ada abah. Kita berhenti minum dulu abah, tentu mak haus,' ajak Azman menukar tajuk perbualan. 'Tak payah, dah dekat ni. Abah tak sabar nak balik,' tolak Pak
Hassan.

Azman dan Muaz hanya berpandangan. Sebaik turun dari kereta, Balkis meluru memeluk mereka dengan tangisan. Suara Pak Long Basri yang bertakbir menambah sayu. Semua yang ada menitiskan air mata.

'Mak dengan abah sihat ke?' tanya Mira setelah bersalaman dengan ibubapa mentuanya.
'Sihat, cuma batuk-batuk aje sikit. Intan mana, dia tak balik ke?' Mak Pah mula berdebar bila Intan tidak kelihatan.
'Naik dulu Ngahnya...,' suruh Long Semah.

'Intan mana?' Pak
Hassan mula hilang sabar bila tak seorang pun memberitahu di mana Intan. Pantas dia memanjat tanggu menuju bilik Intan. Matanya terpaku pada bekas bara yang terletak di sebelah katil yang bercadar kain batik lepas. Dadanya bergetar.
'Az... mana Intan? Mana adik kau Az?' tanya Pak
Hassan dengan suara yang menggeletar. Badannya terasa lemah, dia berpaut pada tepi pintu.
'Sabar abah... ,' Muaz menggosok belakang abahnya.
'Kenapa Az ... kenapa?' Mak Pah menurunkan Syazwan cucunya dari pangkuan dan melangkah laju ke bilik Intan.

'Mak... Intan dah tak ada mak,' Balkis tersedu memeluk emaknya yang terduduk lemah. Pak Hassan terkulai tak bermaya menerima berita itu. Mak Pah terus pengsan. Bila dia terjaga dia melihat anak menantu mengelilingnya. Pak Hassan duduk di tepi kepalanya.
'Sabarlah Ngah, ini dugaan Allah pada kita. Intan pergi pun dalam keadaan tenang. Barangkali kerana hajatnya nak lihat kamu naik haji dah tertunai,' pujuk Long Semah yang masih belum pulang.

'Intan ada tinggalkan surat untuk kita. Dia memang dah tahu dia tak akan hidup lama. Rupa-rupanya dia menghidap barah otak. Dia minta maaf segala salah silap dan berpesan supaya kita jangan sedih atas pemergiannya. Dia minta kita doakan dia,' Pak Hassan menepuk lembut bahu Mak Pah.
'Bila dia meninggal? Siapa yang mengadap masa nazaknya?' tanya Mak Pah tersedu sedan.

'Kami semua ada mak. Dia begitu tabah menanti detik kematiannya mak. Sebenarnya dia yang ajak kami balik ini, katanya nak kemaskan rumah sebelum mak dan abah balik. Masa sampai tu dia sihat lagi tiba-tiba malam Khamis tu lepas solat Isya` dia sakit kepala teruk sampai tak boleh bangun. Az nak hantar ke hospital tapi katanya masa dia dah tiba. Masa tulah baru dia ceritakan sakitnya. Dia meninggal subuh hari Jumaat mak... tiga hari lepas. Dia pergi dalam keadaan yang cukup tenangmak,' cerita Muaz.

Mak Pah mengenggam erat tangan suaminya, terkenangkan bagaimana Intan memeluk erat mereka sebelum melepaskan pemergian mereka. Dan ketika itu bagai terdengar-dengar suara Intan berpesan,'Intan tak nak mak dan abah belikan satu apa pun dari sana .. Hanya satu yang Intan mahu, mak dan abah doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat..'

Tamat.... Moral cerita ... buat baik dan berbaktilah kepada kedua ibu bapa sementara mereka masih ada di dunia ini. Harta benda hanyalah sementara berbanding amalan yg kita lakukan selagi tubuh badan kita bernyawa. Renung-renungkan. ....

Wallahua'lam.